WELCOME TO MY BLOG

Friday, January 29, 2010

Meriahkan suasana pilihan raya kampus.

SEKARANG ini mahasiswa di seluruh menara gading tempatan seakan-akan berpesta menyambut perayaan 'Pilihan raya Kampus' untuk memilih Majlis Perwakilan Pelajar bagi tampuk pemerintahan yang baru.

Di saat ini juga memperlihatkan poster terpampang dan kain rentang diletakkan di sekitar kampus bagi menyatakan sokongan dan memaparkan manifesto yang ingin dibawa jika mereka terpilih.

Dua kumpulan besar berusaha siang dan malam bagi mendapatkan sokongan daripada mahasiswa di samping calon bebas yang cuba nasib menawarkan diri. Apa maknanya semua ini? Lebih lebih lagi dalam tahun terakhir dekad pertama alaf baru ini?

Cuba perhatikan fakta pada Julai 2009 yang menyatakan hampir 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi dikatakan gagal mendaftar sebagai pemilih dan meningkat kepada 4.39 juta sehingga akhir tahun 2009.

Agak malang apabila diselidiki rupanya 65 peratus daripada jumlah itu adalah Bumiputera dalam kelompok remaja dan belia. Jika dilihat daripada laman sosial 'Facebook', rata-rata mereka memperlihatkan kejelekan terhadap politik dan berasakan ia suatu yang menyusahkan.

Adakah ini gambaran penolakan senyap golongan muda terhadap demokrasi atau golongan muda sekadar tidak ambil tahu? Jawapannya mungkin berada sebahagiannya di universiti apabila peratusan keluar mengundi rendah.

Tidak dinafikan faktor lain seperti pilihan raya kampus yang hampir dengan tarikh peperiksaan pertengahan semester.

Namun apa yang pasti, objektif penyertaan di dalam pilihan raya kampus harus disemak semula. Gagasan 'Model Baru Politik Kampus' yang lebih bersih dan demokratik serta 'Gagasan Mahasiswa Peduli' yang lebih Islamik perlu dipopularkan.

Politik Baru Nasional Pasca 8 Mac 2008 adalah kuncinya. Anak muda di universiti khususnya harus lebih berani, lebih peduli, dan lebih terisi. Ayuh mulakan dengan langkah pertama, mari mengundi.

MUHAMMAD AKLIL AYOB,
Majlis Perwakilan Pelajar Kulliyyah
(Fakulti) Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.

BERITA HARIAN (Ruangan Surat) 29 Januari 2010

Sumber

No comments:

Post a Comment