WELCOME TO MY BLOG

Thursday, January 28, 2010

Forum Wacana Nama Allah: Allah Milik Semua


Poster Wacana Ilmiah: Bolehkah Non Muslim Guna Kalimah Allah?


Assalamualaikum warahmatullah.

1. Minggu lepas pada hari Khamis 21 Januari 2010 pada sebelah malamnya; setelah seluruh pelajar UIA Kuantan membung undi disebelah pagi bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar, mereka berduyun-duyun ke Auditorium Kulliyyah Farmasi bagi mendengar wacana ilmiah berkenaan dengan isu penggunaan nama Allah yang dianjurkan oleh Biro Hal Ehwal Islam Mahallah Talhah.

2. Penulis dijemput sebagai moderator dan digandingkan dengan Al-Fadhil Ustaz Zuridan b Daud At-Teminie dan juga bersama Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre bersama-sama dengan hampir 300 penuntut UIA berbincang dan berkongsi idea berkenaan isu yang hangat baru-baru ini.

3. Ustaz Syed Kadir mengupas kalimah Allah itu sendiri dari sudut lughah (bahasa) dan juga dari sudut syarak. Ustaz juga memetik beberapa dalil daripada Al-Quran bagi menguatkan lagi sudut pandang yang membolehkkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Ustaz menyatakan dengan tegas bahawa tiada kesalahan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah selagi mana ia digunakan dengan sebaiknya dan TIDAK DISALAHGUNAKAN.
Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 61:

ولئن سألتهم من خلق السموات و الأرض و سخر الشمس و القمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

Dan jika engkau bertanya kepada mereka : " Siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" Nescaya mereka menjawab Allah ! Maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran .


Panelis bersama penulis dan para hadirin yang hadir. Kredit imej.

4. Aspek Rububiyyah dan Uluhiyyah pula disentuh oleh Ustaz Zuridan dengan terperinci dan ulasan yang dibuat amat penting kerana Ustaz menekankan aspek akidah agama Samawi yang mengakui kewujudan Tuhan yang Esa sepertimana yang ditegaskan didalam Surah Al-Ikhlas ayat 1. Ustaz juga mengulas isu semasa seperti respon masyarakat yang membakar gereja yang dianggap oleh beliau sebagai tidak Islamik kerana adab sangat ditekankan oleh islam hatta didalam perang sekalipun tidak dibenarkan untuk mengganggu rumah ibadat agama lain.

5. Dalam pusingan kedua, Ustaz Syed Kadir mengulas punca isu ini yang mana Ustaz menggariskan sifat agama Kristian itu sendiri yang bersifat dakyah dan sikap Muslim yang jahil dalam isu ini sebagai punca kekecohan yang berlaku. Manakala Ustaz Zuridan pula memberitahu betapa pentingnya sikap kita terhadap isu ini dengan menolak pendekatan berdemonstrasi yang dilaungkan oleh "kumpulan-kumpulan berkepentingan tertentu". Ustaz Zuridan juga menyatakan yang beliau lebih menggemari jika dialog-dialog antara agama ditambah dan dilazimi. Ini juga selaras dengan dengan pendekatan ilmiah dan akademik yang sininim dengan peranan yang mahasiswa boleh mainkan.

6. Wacana diakhiri dengan soalan-soalan bernas yang mana penulis gambarkan sebagai soalan daripada "Mahasiswa Negarawan" seperti isu Majlis Perundingan Antara Agama, isu akidah dan isu dakwah kepada remaja, orang asli dan saudara baru berkenaan dengan penggunaan nama Allah ini.

7. Penulis akhiri wacana dengan membacakan resolusi daripada Deklarasi Muhibbah dan Perpaduan Antara NGO Islam dan NGO Kristian Negeri Pahang Darul Makmur seperti berikut:

Deklarasi Muhibbah Dan Perpaduan Antara NGO Islam Dan NGO Kristian,

Negeri Pahang Darul Makmur


Latar Belakang

Beberapa insiden yang mengakibatkan kemusnahan rumah ibadat seperti masjid, dan gereja baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.Keharmonia n dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di Malaysia sedang digugat oleh pihak-pihak tertentu. Perilaku ini sudah menular di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Sekiranya perilaku ini berlarutan ia dikhuatiri akan merebak dan menjadi semakin serius.

Premis

1- Menyedari bahawa teras perpaduan rakyat amat terkait rapat dengan keharmonian hubungan antara berbilang agama di negara ini.

2- Menginsafi keamanan dan ketenteraman perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia.

3- Menyedari dan memahami bahawa setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjamin kesejahteraan negara dan rakyat negara ini.

Kami Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Negeri Pahang Darul Makmur dengan ini:

· Mengutuk segala perbuatan merosakkan atau memusnahkan rumah ibadat yang tidak berlandaskan perundangan Negara

· Mengutuk segala bentuk provokasi yang boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia

· Menggesa semua pihak menghormati kedudukan agama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia

· Mendesak semua pihak agar menghormati sensitiviti penganut semua agama di Malaysia

· Mendesak semua pihak agar menghentikan segala kekacauan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat

· Menggesa agar pihak terbabit menyebabkan kemusnahan masjid dan gereja dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

· Mengadakan pertemuan muhibbah antara penganut-penganut agama

· Menyokong inisiatif meningkatkan interaksi dan persefahaman antara agama dengan semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Kristian Negeri Pahang Darul Makmur.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- --

NGO Islam

1. ABIM

2. GAMIS

3. MAMPAN

4. KRIS

5. GPMS

6. ISMA

7. JIM

8. HALUAN

9. PEKIDA

10. Majlis Belia Pahang

11. Majlis Belia Kuantan

12. WADAH

13. IKATAN

14. Gerakan BELIA 4 B

15. Masjid Tok Sira

16. PERKIM

NGO KRISTIAN

1. GraceCharismatic Center

2. RaphaChildren Home

3. KuantanBaptis Church

4. GerejaWarisan Milik Kristus

5. CristianPraise Center

6. KuantanChapel

7. PresbyterianChurch

8. Churchof Epiphany

9. VictorAssembly

10. Maranatha Hope Fellowship

11. Shalom Fellowship

12. Kingdom Gospel Center

13. Kuantan Presbyterian Center


8. Penulis kemudiannya pada hari Ahad 24 Januari 2010 bersama-sama dengan delegasi 5 orang pelajar UIA Kuantan ke KIPSAS bagi mendengarkan tajuk yang sama oleh dua orang tokoh NGO yang berkaliber iaitu Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras dan Ustaz Nicholas Sylvester daripada Jemaah Islah Malaysia (JIM).


Delegasi pelajar UIA Kuantan bersama Cikgu Azmi yang "istiqamah" dengan kain pelikatnya. :)

9. Cikgu Azmi dengan lantang menyatakan sejak 1511 lagi usaha Kristianisasi ini bermula apabila Melaka yang dibawah Kesultanan Islam telah jatuh ke tangan Portugis. Beliau cukup sentimental menyorot isu ini sehinggakan penulis seakan-akan terpesona berada didalam "kelas Sejarah Melayu" beliau. Ustaz Nicholas pula menitipkan gerakan Kristianisasi yang cuba masuk jarum sejak dulu lagi dan menekankan aspek kesatuan ummah di Malaysia.

10. Akhir kata daripada Cikgu Azmi sangat terkesan di hati penulis iaitu berkenaan dengan sindrom "Diarrhea in Words, Constipation In Action" iaitu "cirit-birit dalam berkata-kata, sembelit dalam bekerja". Mungkin inilah penyakitnya yang perlu diubati. Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah sepanjang kehidupan ini. Wallahua'lam.

قل هو الله أحد الله الصمد لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد

Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya .
Surah Al-Ikhlas ayat 1-4.



No comments:

Post a Comment